COVID-19: IMARET AGIH RM1.6 JUTA PERALATAN PERUBATAN UNTUK HOSPITAL, KLINIK SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan keperluan barisan hadapan mendepani wabak COVID-19, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) telah menyampaikan RM1.6 juta bantuan dalam bentuk peralatan perubatan dan non-medikal kepada petugas hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Melalui dana sumbangan rakyat Malaysia itu, IMARET sehingga semalam mengagihkan 50,000 unit peralatan perlindungan peribadi (PPE) antaranya topeng muka, topeng N95, perisai muka, baju pelindung dan sarung tangan selain mesin ultrasound mudah alih, ventilator, monitor, pam infusi dan 500 unit pelbagai peralatan klinikal.

Terkini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan itu mengagihkan ventilator, mesin ultrasound mudah alih dan PPE kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Pahang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kelantan hari ini.

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata bantuan sama akan diagihkan kepada hospital-hospital mengendalikan kes COVID-19 yang telah dikenalpasti dalam masa terdekat.

Katanya, IMARET bekerja keras dalam menilai keperluan hospital dan klinik kesihatan terbabit dalam memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan di seluruh negara berdasarkan keperluan semasa.

“Cabaran terbesar kami ketika ini adalah mengatasi kekurangan bekalan peralatan ini serta harga yang mahal dari pengedar dan pembekal memandangkan COVID-19 adalah isu pandemik global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehingga 31 Mac lalu, IMARET mengumpulkan RM2.5 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Tabung COVID-19 dengan RM1.6 juta dalam bentuk bantuan perubatan dan kelengkapan non-medikal selain bantuan makanan, telah diagihkan kepada kelompok sasaran.

Dr Munawwar berkata IMARET bekerjasama dengan The Edge, Mr DIY, FashionValet, Malaysian Official Designers Association (MODA), Restoran Copper, MedTweetMy, MyCare, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), MDEC, Klinik As-Salam dan Rumah Pengasih bagi inisiatif Tabung COVID-19 untuk memastikan petugas barisan depan perubatan berfungsi dengan efektif.

“IMARET ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak – orang awam yang menderma, syarikat-syarikat, NGO-NGO, media serta selebriti dan influencer media sosial yang menunjukkan sikap dermawan melalui sumbangan wang dan juga dari segi menjana publisiti untuk pengumpulan dana serta usaha dalam meningkatkan kesedaran untuk menyokong ‘frontliner’ perubatan di dalam situasi yang sangat getir ini.

“Kami berharap sokongan  kepada IMARET dan kolaborator kami akan berterusan dalam usaha memerangi Covid19 untuk keselamatan negara kita #DemiNegara,” katanya.

Individu atau badan korporat yang ingin membantu inisiatif kemanusiaan IMARET boleh melayari media sosial IMARET di Facebook dan Instagram. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply