IMUNITI KELOMPOK: ENAM JUTA DOS BAKAL DITERIMA BULAN HADAPAN

Sumber Gambar: ARKIB BERNAMA

PUTRAJAYA: Sejumlah enam juta dos vaksin bakal diterima pada awal September depan yang akan menyokong usaha untuk mencapai imuniti kelompok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat.

“Kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.

“Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah,” katanya dalam ucapan sulungya sebagai Perdana Menteri Ke-9, hari ini.


Jelasnya, negara berjaya menurunkan statistik pesakit COVID-19 yang dibuktikan dengan statistik kes harian Wilayah Persekutuan (WP) Labuan menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut setelah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa.

Tambah Ismail Sabri, pencapaian imuniti kelompok tidak bermakna akan bebas sepenuhnya daripada ancaman COVID-19 tetapi virus tersebut tidak lagi menjadi ancaman seperti yang ditakuti sekarang.—AlHijrah Online

Leave a Reply