DIPLOMA INSTITUSI FORMAL BAGI MUALAF DI SABAH, IPDAS TERIMA AKREDITASI MQA

KUALA LUMPUR: Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), pusat pendidikan formal bagi mualaf di Sabah dan pendidikan tinggi Islam bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri itu, menerima pengiktirafan penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pengiktirafan itu menjadikan IPDAS pusat pengajian ketiga milik JAKIM yang diiktiraf MQA selepas Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) di Kuching, Sarawak.

Katanya, pengiktirafan akreditasi penuh itu telah disahkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengiktirafan MQA yang bersidang pada  27 Ogos lalu bagi program Diploma Dakwah Islamiyyah IPDAS.

“Harapannya, dengan pengiktirafan yang diperolehi institusi pendidikan JAKIM ini akan dapat meneruskan agenda “Melebar Risalah Menyantuni Ummah” selaras dengan Gagasan Negara Rahmah diperkenalkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

IPDAS adalah pusat pengajian di bawah JAKIM yang menyediakan pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang dakwah Islamiah di Sabah.

Memulakan Program Dakwah Islamiyyah sejak 2014, IPDAS menyediakan pendidikan formal kepada mualaf negeri Sabah dan pendidikan tinggi Islam di peringkat sijil dan diploma bagi pelajar lepasan SPM.

Setakat ini, seramai 330 graduan diploma dilahirkan IPDAS dengan 8,823 adalah graduan peringkat sijil. – AlHijrah Online

Leave a Reply