Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

ISRAEL MENGGILA DI RAFAH, RATUSAN ORANG AWAM TERBUNUH

DUNIA

ISRAEL MENGGILA DI RAFAH, RATUSAN ORANG AWAM TERBUNUH

RAFAH: Awal pagi Isnin, Israel melancarkan serangan bom bertubi-tubi di Rafah, Selatan Gaza mengakibatkan ratusan orang awam terbunuh serta cedera.

Serangan Israel di Rafah pagi tadi. – AFP

RAFAH: Awal pagi Isnin, Israel melancarkan serangan bom bertubi-tubi di Rafah, Selatan Gaza mengakibatkan ratusan orang awam terbunuh serta cedera.

Pihak berkuasa kesihatan di Rafah melaporkan, dalam pembunuhan tragis itu, lebih 100 orang awam terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita selain ratusan lagi cedera.

Mangsa serangan pagi tadi dibawa ke hospital di seluruh bandar itu, menurut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA).

Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan Rafah ketika ini sedang menerima serangan udara Israel yang ganas dan mensasarkan pusat bandar dengan banyak rumah orang awam musnah termasuk ibu pejabat Bulan Sabit Merah Palestin.

Pengarah Hospital Kuwait di Rafah, Suhaib Al-Harms berkata hospital itu dipenuhi dengan pesakit yang cedera parah, malangnya pusat kesihatan itu kekurangan ubat dan bekalan yang mencukupi.

Sumber tempatan memaklumkan, jet pejuang Israel melancarkan kira-kira 40 serangan udara, menyerang rumah dan masjid yang menjadi tempat perlindungan pelarian Palestin.

Antara masjid yang menjadi sasaran termasuk Masjid Al-Rahma di Shaboura dan Masjid Al-Huda di kem pelarian Yibna dengan kedua-duanya menampung puluhan keluarga yang berlindung.

Serangan udara Israel hari ini difahamkan turut melibatkan kawasan berhampiran sempadan Mesir.

Dianggarkan kira-kira 1.4 juta penduduk dan pelarian berada di Rafah selepas Israel sebelum ini memaksa ratusan ribu penduduk Palestin berpindah ke situ.

Serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober lalu telah membunuh 28,176 orang, majoritinya orang awam yang tidak bersalah dan lebih 68,000 orang cedera.

Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan akibat Israel menghalang usaha pasukan penyelamat. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading