JANGAN TERPERDAYA TAWARAN TUNAI HAJI GUNA VISA FURADA

KUALA LUMPUR:  Tiada mana-mana syarikat atau individu yang dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji musim ini, termasuk yang menggunakan visa yang diuruskan sendiri (visa furada).

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya berkata penangguhan ibadat haji yang diumumkan Kerajaan Malaysia Khamis lalu, melibatkan semua bakal haji termasuk yang menggunakan visa furada.

“Kerajaan Malaysia telah menangguhkan ibadat haji tahun ini kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

“Penangguhan ini turut melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa yang diuruskan sendiri,” demikian menurut kenyataan TH hari ini.

Badan pengurusan haji terkemuka dunia  itu juga turut menasihatkan orang ramai tidak terperdaya dengan tawaran menunaikan ibadat haji yang dibuat individu tidak bertanggungjawab.

“TH menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dan tidak berurusan dengan pihak tertentu untuk menunaikan haji menggunakan visa diurus sendiri kerana ibadat haji untuk rakyat Malaysia tahun ini telah ditangguhkan oleh Kerajaan,” jelas TH dalam kenyataannya. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply