SIDANG MEDIA PKP TIDAK LAGI DIBUAT SETIAP HARI

KUALA LUMPUR: Sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan dikendalikan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi akan dilakukan setiap hari.

Ismail berkata bermula esok sidang media itu hanya akan dilakukan tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Ingin saya maklumkan hari ini hari terakhir saya bersiaran secara langsung setiap hari. Hari ini juga hari terakhir saya bersiaran pada hujung minggu. Mungkin selepas ini tiada lagi lah baju batik warna warni,” kata Ismail pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, pengamal media dan lain-lain pihak yang telah berusaha memerangi pendemik Covid-19.

“Kepada semua rakyat Malaysia, yang patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap masa, terima kasih saya ucapkan atas kerjasama dan sokongan anda,” katanya.

Ismail mengingatkan semua pihak untuk tidak leka dengan kelonggaran ketika tempoh PKPP dan kekal mengamalkan kawalan kendiri serta penjarakan sosial. – AlHijrah Online/ Zaim Zamani

Leave a Reply