JANGAN TIPU FRONTLINERS, JANGAN ANIAYA KAMI – DG HISHAM

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu masyarakat untuk tidak menyembunyikan status kesihatan mereka kepada petugas kesihatan ketika datang mendapatkan rawatan atau untuk saringan COVID-19.

“Jangan tipu frontliners, kami juga perlu dilindungi, ada keluarga dan rakan-rakan, jangan aniaya frontliners,” katanya menerusi Facebook beliau, hari ini.

Hantaran beliau turut disertakan perkongsian seorang doktor menerusi Facebook mengenai pesakit menipu ketika menjalani saringan kesihatan yang menyebabkan petugas kesihatan positif COVID-19.

Dalam perkongsian tersebut, doktor wanita itu berkata terdapat seorang pesakit datang ke hospital untuk janji temu imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Pesakit mengaku sihat ketika disaring di pintu masuk jabatan dan dibenarkan masuk kerana suhu badan juga normal, kata doktor itu dalam hantarannya.

“Saya merupakan doktor yang menyediakan pesakit ini untuk scan (penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya). Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit COVID-19.

“Apabila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke janji temu CT. Ternyata tindakannya menyusahkan orang lain. Pesakit itu disahkan positif COVID-19 selepas dua hari,” tulisnya.

Susulan itu, doktor terbabit menjalani ujian calitan COVID-19 dan turut disahkan positif jangkitan tersebut.

Beliau yang berasa kecewa dengan sikap pesakit berkenaan meluahkan rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan keluarga.

“Keputusan swab mendapati saya positif. Saya menangis semasa dapat tahu sebab sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami. Risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti. Kecewa terhadap sikap pesakit saya.

“Mohon jangan tipu kami sekiranya anda bergejala. Tindakan anda melibatkan pesakit-pesakit lain, petugas kesihatan serta keluarga mereka. Kami juga manusia,” tulisnya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply