JEMAAH LELAKI SEMPAT SELESAIKAN SOLAT ASAR SEBELUM MENINGGAL DUNIA

TEMERLOH: Seorang jemaah lelaki meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat Asar di Masjid Paya Luas, di sini pada Sabtu lalu.
Kejadian kira-kira jam 4.51 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan lelaki itu berada dalam kedudukan tahiyat akhir namun dalam keadaan kaku selepas jemaah selesai menunaikan solat.
Kongsi pemilik akaun Facebook Nur Qaseh, bapanya, Abd Rahman Rapie @ Hj Abd Rahman, 64, sempat menyempurnakan solat Asar sebelum dikerumuni jemaah lain yang bimbang dengan keadaannya.
“Ayah sedang solat Asar di masjid, ayah tiba-tiba pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (HOSHAS).
“Ayah mengalami pendarahan otak, sebelum ini ayah sudah ada penyakit darah tinggi,” katanya dalam hantaran itu.
Bagaimanapun, Abd Rahman Rapie menghela nafas terakhirnya pada 21 Ogos, jam 9.17 malam dan jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paya Luas.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham.–AlHijrah Online