KAJI SEMULA KADAR TOL LPT2 – AHMAD RAZIF
KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu akan mengemukakan rayuan kedua kepada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), supaya mengkaji semula kadar bayaran tol yang dikenakan sepanjang LPT2.
Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata rayuan dibuat bagi memberi pulangan dan keselesaan sama rata kepada pengguna dan pihak konsesi sehinggalah semua kemudahan disediakan di lebuh raya itu.
Beliau berkata setakat ini, hanya stesen minyak sahaja yang belum diwujudkan di lebuh raya itu namun, kebanyakan kedai sudah memulakan operasi.
“Kita terima banyak rungutan tentang kekurangan kemudahan di laluan itu jadi, kita akan merayu kepada PLUS supaya mengurangkan kadar bayaran tol sehingga fasiliti sepenuhnya disiapkan di lebuh raya itu.
“Saya yakin dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, masalah fasiliti ini dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Wisma Persekutuan di sini, hari ini.
Ahmad Razif berkata kadar bayaran tol yang dikenakan PLUS kepada pengguna LPT2 sama dengan lebuh raya lain yang diselenggara syarikat itu.
PLUS menetapkan kadar Kelas 1 sebanyak RM19.70 dari Plaza Tol Kuala Terengganu ke Plaza Tol Cheneh berdekatan Jabor, yang terletak di sempadan Pahang-Terengganu, berkuat kuasa 15 Julai lepas.
Mengenai aspek keselamatan di LPT2, beliau yakin ia dapat diselesaikan selepas kutipan tol dilaksanakan.
BERNAMA