KALIMAH ALLAH: MAIS TIDAK SETUJU KEPUTUSAN KERAJAAN TARIK BALIK RAYUAN

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian baru-baru ini.
MAIS berpendirian kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi juga melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agam Islam yang berada di bawah bidang kuasa raja sebagai ketua agama negeri.
“Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).
“Walau bagaimanapun, MAIS merasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak Kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini,” kata kenyataan MAIS hari ini.
Sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam yang bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam di Negeri Selangor, MAIS berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di Negeri Selangor.
“Dalam titah tersebut baginda menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Negeri Selangor.
“Baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.
“Namun begitu, baginda tiada halangan sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God’ dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian,” kata MAIS.
MAIS juga mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Negeri Selangor adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di negeri itu pada 18 Februari 2010.
Pihak berkuasa agama itu turut berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi negara memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah.
“MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.
“lni untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Negeri Selangor,” kata MAIS. – AlHijrah Online