Kami dicari apabila ada kematian

Rosli dan isterinya, Rohani sedang menyiapkan keranda yang ditempah.

TUMPAT – Mereka sangat diperlukan untuk menyempurnakan sebuah pengkebumian jenazah.

Walaupun tidak ramai yang meminati kerja membuat keranda tetapi sepasang suami isteri di kampung Berangan Stesen, di sini menjadikannya sumber rezeki.

“Bila orang mati, cari kami. Inilah ‘rumah’ kita semua bila mati nanti, tidak kira kaya atau miskin.

“Setiap kali membuat keranda, hati sentiasa ingat mati,” katanya kepada Sinar Harian.

Rohani Ibrahim, 50, berkata, dia bersama suami, Rosli Hassan, 53, berkecimpung dalam pembuatan keranda sejak 12 tahun lalu. Pasangan suami isteri itu turut dibantu dua anaknya, Sazwan, 20, Syahiran, 22, menjadikan kerja menyiapkan keranda lebih cepat.

Rosli berkata, pengalamannya sebagai tukang rumah dan pemotong kayu memudahkan kerja membuat keranda ini. Kebanyakan keranda buatan mereka adalah daripada kayu durian dan proses menyiapkan sebuah keranda tidak mengambil masa lama hanya sekitar setengah jam sahaja.

Mereka berdua bekerja dengan Mat Nawi Yusoff, 73 yang sudah berniaga keranda sejak 25 tahun dahulu. Menurut Mat Nawi, kayu pokok durian dibeli daripada pembekal dan keranda yang siap dibekalkan di enam kampung daerah ini.

Terdapat pelbagai saiz keranda iaitu dua saiz dewasa dan dua saiz kanak-kanak, manakala jika ada jenazah yang berbadan besar, ia perlu ditempah dan disiapkan terus.

Menurutnya lagi, dia menjual keranda secara borong dan runcit termasuk kain kafan dan peralatan pengurusan jenazah.

Satu set lengkap pengurusan jenazah bersama keranda berharga RM324 untuk jenazah perempuan dan RM314 untuk lelaki.

Leave a Reply