KELAZIMAN BAHARU: KONVOKESYEN UiTM SECARA JANJI TEMU

Penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu bagi menggantikan Istiadat Konvokesyen UiTM.

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah memperkenalkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu bagi menggantikan Istiadat Konvokesyen UiTM susulan pandemik COVID-19.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah alternatif itu dapat menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan (4K) bagi para graduan, ibu bapa juga seluruh warga yang terlibat.

“Menyedari hakikat ini, pengurusan tertinggi UiTM amat prihatin dan melakukan yang terbaik untuk penuhi hasrat para graduan untuk mempunyai kenangan bergraduasi dalam suasana norma baharu.

“Janji temu yang diperkenalkan ini mengambil kira pelbagai aspek berkaitan 4K dengan merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu akan dilaksanakan bermula 7 November ini sehingga 9 Januari tahun depan dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, namun tertakluk kepada sebarang pindaan.

Menurutnya, sesi penganugerahan itu akan dilakukan di UiTM Shah Alam dan seluruh kampus cawangan, berdasarkan pemilihan kampus terdekat oleh graduan tanpa mengambil kira tempat asal pengajian.

Azraai berkata, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan dan menerima skrol serta transkrip sebagaimana kelaziman dalam istiadat konvokesyen, menerusi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu.

Proses pelaksanaan penganugerahan itu pula akan mengambil masa antara tujuh hingga 15 minit bagi setiap graduan.

Graduan boleh membuat permohonan untuk menerima diploma dan ijazah masing-masing menerusi Sistem Janji Temu Penganugerahan Diploma/Ijazah di laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/. – AlHijrah Online

Leave a Reply