KKM NAFI KEUTAMAAN PEMBERIAN VAKSIN KEPADA INFLUENCER

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan laporan berita mengenai keutamaan pemberian vaksin kepada ‘influencer’.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menegaskan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengikut keutamaan yang ditetapkan sebelum ini.

“Semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak Hospital bercadang untuk memberi vaksin COVID-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain anggota barisan hadapan (frontliners) yang lain.

“Ketua jabatan klinikal merupakan pakar perunding klinikal bidang masing-masing dan sememangnya terdedah kepada risiko COVID-19 dan kerap mempunyai kontak dengan pesakit mahupun waris semasa menjalankan tugas,” kata Dr. Noor Hisham dalam kenyataannya hari ini.

Dr. Noor Hisham turut memaklumkan isu memotong barisan (cutting queue) bagi mendapatkan vaksin adalah tidak dibenarkan dan perkara tersebut akan disiasat untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, beliau menasihati pihak media untuk berhati-hati dalam membuat laporan dan hanya melaporkan perkara yang disahkan benar.

“KKM berharap laporan palsu seperti ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dahulu sebelum mempercayai sebarang berita atau menyebarkan kepada orang lain,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply