KONSEP RAHMATAN LIL ALAMIN PERLU DIFAHAMI JELAS, ELAK IA DIMANIPULASI: MUJAHID

KUALA LUMPUR: Konsep gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ perlu difahami dengan jelas dari segi maksudnya bagi mengelak ianya dimanipulasi kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, maksud kontekstual, menerusi wahyu atau agama dan juga dari aspek pelaksanaan, antara kunci utama mewujudkan kefahaman yang lebih baik terhadap konsep itu. 

“Kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab sering salah tafsir terma yang digunakan dan meremehkan amalan konsep ini dalam masyarakat,” katanya dalam ucapan dipetik BERNAMA di majlis makan malam sempena kunjungan Setiausaha Agung Komanwel Baroness Patricia Scotland di sini semalam.

Ucapan Mujahid dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Mujahid menyifatkan penampilan konsep ini ketika berdepan dengan dua kumpulan ‘ekstrem’ yang berbeza pandangan dan bertelagah, sebagai cabaran yang mencabar.

“Dalam amalannya, ia memerlukan pendekatan seimbang yang secara konsisten memberi tumpuan kepada nas-nas (bukti undang-undang Islam) dan ‘maqasid syariah’, tetapi pada masa yang sama tidak meminggirkan perdebatan kontekstual dan situasi semasa yang dihadapi negara,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee. 

Scotland adalah Setiausaha Agung Komanwel ke-enam, dan merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan itu, kini berada di Malaysia untuk lawatan kerja tujuh hari mulai Ahad lalu, atas undangan MAIWP. — AlHijrah Online

Leave a Reply