TV ALHIJRAH, MALAKAT MALL KERJASAMA BANTU EKONOMI UMMAH

CYBERJAYA: Kerjasama AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) dan Malakat Mall Sdn Bhd (Malakat Mall) adalah jalinan kerjasama ummah yang akan membantu meningkatkan ekosistem ekonomi Muslim.

Ia juga selari dengan aspirasi pihak terbabit membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Muslim melalui pasaran runcit di pusat beli-belah itu yang menghimpunkan pelbagai produk Muslim di bawah satu bumbung.

Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah Media Corporation, Namanzee Harris berkata kerjasama itu berpotensi memacu pembangunan ekonomi ummah di dalam dan luar negara.

“Kita melihat ekosistem yang Malakat Mall create (bentuk) itu merupakan satu potensi dan peluang yang TV AlHijrah ingin bersama.

“Melalui Malakat Mall, ramai vendor-vendor Muslim dan produk-produk Muslim akan ada dalam satu ekosistem yang mana kita (TV AlHijrah) akan sediakan ruang pemasaran,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kolaborasi strategik di antara Malakat Mall dan AlHijrah Media Corporation di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

Majlis MoU disempurnakan Namanzee mewakili TV AlHijrah dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim.

Melalui MoU itu, kedua-kedua pihak akan berkongsi platform dan menggalakkan kerjasama dalam bidang tertentu, antaranya meliputi pemasaran produk/vendor Malakat Mall yang akan dibuka pada 1 Mac ini; pembangunan protokol internet kandungan baharu seperti drama, filem dan program pendidikan.

Kolaborasi strategik itu juga akan membabitkan pembangunan aplikasi kandungan Islamik dan media baharu seperti Aflix.

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, kerjasama itu akan menyebarluaskan lagi maklumat terkini mengenai perjuangan pusat beli belah itu untuk menyediakan ruang kepada usahawan Muslim membina perniagaan di Malakat Mall.

Katanya, usahawan yang membawa produk ke Malakat Mall akan dibimbing secara tersusun dan sistematik sehinggalah menjadi jenama pilihan utama masyarakat di negara ini.

“Jalinan kerjasama dengan AlHijrah diharap usahawan terbabit mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih luas lagi,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply