LARANGAN MAKAN IKAN DENGAN SUSU SEKADAR PANDANGAN, TIADA SUMBER DALIL AL-QURAN

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang sumber larangan memakan ikan bersama susu daripada nas dan dalil al-Quran atau hadis Nabi SAW.

Perkara itu dijelaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui persoalan berhubung larangan memakan ikan dan susu ini dari sudut syarak.

“Persoalan berkaitan larangan memakan ikan bersama susu tidak terdapat dalil daripada al-Quran dan hadis Baginda Nabi SAW, namun ayat larangan tersebut kebiasaannya dijadikan contoh dan sering digunakan di dalam kitab-kitab Nahu seperti kitab Audih al-Masalik, Syarh Qatr al-Nada wa Bal al-Sada dan Syarh Ibnu ‘Aqil.

“Ayat ini digunakan oleh pakar tatabahasa arab sebagai contoh untuk menggambarkan perbezaan dari sudut bacaan, baris dan makna dan ia tiada kaitan dengan konteks perubatan dan kesihatan,” katanya.

PMWP berkata namun terdapat nasihat dan petua yang diberikan oleh Ibnu Masuwaih yang menyatakan bahawa dengan memakan ikan bersama susu boleh menyebabkan penyakit kulit dan gout akan tetapi ia sekadar pandangan dan petua dari seorang ilmuan.

“Jika seseorang berpontensi untuk menghidap sesuatu penyakit dengan sebab memakannya, maka perkara ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan untuk mendapat khidmat nasihat,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply