LEBIH 3,000 LAGI PELAJAR IPT DIHANTAR PULANG HARI INI

KUALA LUMPUR: Seramai 3,194 lagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan dihantar pulang oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membabitkan pergerakan intra-zon hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan itu melibatkan empat zon iaitu Zon Timur ke dalam Zon Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Zon Perak ke dalam Zon Perak, Zon Selatan ke dalam Zon Selatan (Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka) dan Zon Sarawak ke dalam Zon Sarawak.

Katanya, KPT akan menghantar pulang 1,029 pelajar di Zon Timur, 519 pelajar di sekitar Perak, 1,366 pelajar dalam Zon Selatan ke Zon Selatan dan 280 pelajar dalam Zon Sarawak ke Zon Sarawak.

“Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar-pelajar yang terlibat di Ibu Pejabat Polis (IPD) atau Pejabat Daerah yang telah dikenalpasti.

“Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terlibat,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan stesen TV tempatan hari ini.

Sebelum ini, sejumlah 1,128 pelajar IPTA dan IPTS dari zon hijau telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing, yang juga berada dalam zon hijau.

Kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply