LELAKI RENTUNG DALAM KEBAKARAN EMPAT BUAH RUMAH FLAT

Sumber Gambar: Bomba KL

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Flat PKNS, Jalan Tun Razak, Kampung Baru, awal pagi tadi.

Mangsa, Jasni Ismail, 53 tahun dipercayai tinggal seorang diri dijumpai terbakar 100 peratus dalam kebakaran tersebut.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan pada jam 6.39 pagi.

Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, BBP Titiwangsa, BBP Keramat dan BBP Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan empat buah rumah dengan keluasan kebakaran setiap rumah 600 kaki persegi dan kemusnahan kebakaran rumah pertama 70 peratus dan tiga buah lagi 30 peratus.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 53 tahun dijumpai rentung yang ditemukan di katilnya,” katanya.

Tambahnya, api dapat dikawal pada jam 7.02 pagi manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.–AlHijrah Online

Leave a Reply