MAYAT KANAK-KANAK TERGELINCIR SUNGAI DITEMUI LEMAS

Bapa mangsa, Awari Md Daud memeluk mayat anaknya yang baru dijumpai.

YAN: Mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dipercayai tergelincir di Sungai Kampung Perupok, dekat Yan, ditemukan lemas hari ini.

Mayat Mohd Hafiz Izzan Awari, 6, ditemui jam 10.05 pagi oleh penduduk kampung yang turut membantu pencarian mangsa sejak jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa ditemui di Kampung Setar kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

Beliau berkata, dengan penemuan jasad mangsa itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ditamatkan hari ini.

SAR turut dibantu pelbagai agensi termasuk dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk pengecaman dan bedah siasat.

Sementara itu bapa mangsa Awari Md Daud, 34, berkata dia terus terjun ke dalam sungai selepas dimaklumkan isterinya tetang kehilangan anak mereka namun usahanya gagal kerana air deras ketika itu.

Dia dan isteri, Faryhanun Mohd Sujak, 36, tidak dapat menahan sebak selepas anak ketiga dari lima beradik itu ditemui.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi SAR turut dibantu dua ekor anjing dari Unit Pengesan K-9.

Katanya, paras air sungai itu mulai surut hari ini berbanding ketika kejadian arus deras di sungai itu akibat hujan lebat menyebabkan paras air meningkat sehingga 3.1 meter seterusnya menyukarkan operasi pencarian mangsa. –AlHijrah Online

Leave a Reply