MAYAT REMAJA LEMAS DITEMUI DI PERANGKAP SAMPAH

GOMBAK: Mayat remaja lelaki disyaki lemas selepas dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Gong, Rawang, di sini semalam, ditemui di kawasan perangkap sampah Fruit Valley, Bestari Jaya, petang tadi.

Mayat mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 16, ditemukan pada hari ini di lokasi lebih kurang 10 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, kejadian melibatkan tiga ahli keluarga yang hanyut semasa cuba menyeberangi sungai selepas aktiviti memancing.

Bagaimanapun, dua mangsa yang merupakan bapa tirinya, 45, dan adik tiri mangsa, 15 tahun berjaya diselamatkan pemancing lain di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa terselamat tidak mengalami sebarang kecederaan dan pencarian diteruskan menggunakan kaedah ‘water surface searching’,” katanya dalam satu kenyataan.

Norazam mengulas, pencarian mangsa diperluaskan ke perangkap sampah berdekatan dengan bantuan anjing pengesan (K9) dan unit dron.

Katanya, pasukan mencari telah menjumpai mangsa pada Khamis jam 2.30 petang di kawasan perangkap sampah Fruit Valley, Bestari Jaya.

“Mayat berjaya dibawa naik ke darat oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang tadi.—AlHijrah Online

Leave a Reply