KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kini berada di Jeddah, Arab Saudi bagi menyertai Persidangan Haji dan Umrah 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Na’im berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Kerajaan Arab Saudi tentang usaha yang dilaksanakan pengurusan Tabung Haji (TH) dalam memperkukuh pengurusan operasi jemaah Haji Malaysia.
“Saya bersama Pengerusi TH Tan Sri Rashid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman akan menyertai Persidangan Haji dan Umrah 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Saya juga akan mengadakan beberapa pertemuan lain untuk memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi khususnya dalam memastikan perjalanan operasi Haji bagi 2024 ini akan berjalan dengan lancar,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau.
Mohd Na’im turut mendoakan seluruh jemaah yang akan mengerjakan Haji pada tahun ini akan dipermudahkan urusan.–AlHijrah Online