MYAQSA LENGKAPKAN LAPORAN HERET ISRAEL KE MAHKAMAH

PUTRAJAYA : Laporan lengkap untuk mengheret Israel ke mahkamah kerana meroboh dan memaksa penduduk Palestin berpindah dari kediaman mereka akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), The Hague, Belanda.
Ketua Delegasi Undang-Undang Yayasan MyAqsa, Lukman Sheriff Alias berkata, laporan tersebut akan diserahkan pada akhir tahun ini.
“MyAqsa sedang menyiapkan laporan tersebut dan akan menyerahkannya pada akhir tahun ini,” katanya.
Menurutnya, prosiding pendakwaan terhadap Israel dijangka dilakukan pada pertengahan tahun hadapan.
“Ini kerana pihak pendakwa raya memerlukan tempoh untuk menyiasat dan memanggil saksi sebelum proses pendakwaan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, MyAqsa berkeyakinan, dengan bukti-bukti yang dikumpul dan diperolehi pihaknya, ICC tidak mempunyai pilihan lain selain mendakwa Israel dengan kadar segera.
“Kami telah ke Tebing Barat pada awal bulan ini untuk bertemu secara terus dengan mangsa bagi mengumpul dan mengambil keterangan secara langsung mengenai aktiviti Jenayah Terhadap Kemanusiaan yang dilakukan rejim Israel terhadap mereka,” katanya.
Lukman berkata, jenayah dilakukan rejim Israel itu merupakan salah satu jenayah yang diperuntukkan di dalam Statut Rom, ICC.
“Pada masa sama, Israel telah melanggar Resolusi 2334 apabila mereka secara berterusan membina penempatan baharu untuk kaum Yahudi di tanah milik rakyat Palestin.
“Sedangkan menurut Resolusi 2334 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB pada tahun 2016, Israel telah diminta untuk menghentikan serta merta kesemua aktiviti penempatan baru untuk penduduk Yahudi di bumi Palestin,” katanya pada sidang media berhubung misi khas tersebut di pejabatnya, di sini hari ini. — SINAR HARIAN