‘MYSJ TRACE’ CIRI BAHARU KESAN KONTAK RAPAT

KUALA LUMPUR: Ciri baharu ‘MySJ Trace’ kini terdapat di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pengesanan kontak rapat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, ciri baharu yang menggunakan system Bluetooth akan memberi maklumat secara langsung bilangan interaksi dengan pengguna lain yang turut mengaktifkan ‘MySJ Trace’.

“Jika anda disahkan positif, anda boleh hantar data interaksi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk proses pengesanan kontak dibuat. Semua data interaksi adalah tidak didedahkan,” katanya.

Dengan ciri terbaharu itu masyarakat digalakkan menggunakannya apabila ke tempat awam yang tertutup.

Khairy berkata dengan adanya ‘MySJ Trace’ ciri mendaftar keluar yang terdapat dalam MySejahtera tidak lagi digunakan.

Ciri baharu berkenaan katanya telah dihantar serentak kepada Google, Apple dan Huawei untuk dikemas kini.

“Sudah boleh dikemas kini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan kemas kini baharu ini,” katanya.

MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak COVID-19 di negara ini. –AlHijrah Online

Leave a Reply