KUALA LUMPUR: Lesen syarikat lori yang terlibat nahas enam sekeluarga maut di KM5 Jalan Segamat-Kuantan pada 1 Sept lalu, dibatalkan serta merta, kata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Katanya, hasil siasatan mendapati syarikat itu gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat serta melanggar syarat lesen Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pihak syarikat itu juga gagal memperbaharui lesen kenderaan motor bagi lori yang telah tamat tempoh ketika kemalangan berlaku.
“Semakan dengan agensi berkaitan mendapati syarikat ini turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.
“Dijelaskan tindakan pembatalan lesen pengendali syarikat ini akan berkuat kuasa serta merta dan ditegaskan selepas tempoh pembatalan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah APAD, Kementerian Pengangkutan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
APAD turut mengingatkan mana-mana pengendali berlesan untuk memantau prestasi pemandu mereka termasuk memastikan aspek kebajikan pemandu terjaga setiap masa.
“APAD berharap tindakan dikenakan ke atas syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali,” katanya.
Pada 1 Sept, enam sekeluarga maut melibatkan pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46, dan isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43, serta anak-anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Kemalangan berlaku membabitkan sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza, dan Perodua Bezza, serta sebuah lori bermuatan pasir.—AlHijrah Online