PARLIMEN PERLU BERSIDANG SECEPAT MUNGKIN, IKUT SOP – AGONG

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pagi tadi serta lanjutan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah berlangsung pada 16 Jun lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pandangan Al-Sultan Abdullah itu bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Ketika sesi menghadap, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan secepat mungkin.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan yang dinyatakan ini adalah pendirian Seri Paduka Baginda dan Dulu-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menyeru rakyat untuk bersama mendoakan supaya negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. — AlHijrah Online

Leave a Reply