PEKERJA SYARIKAT DIBENAR BEROPERASI WAKTU PKP WAJIB JALANI SARINGAN COVID-19

KUALA LUMPUR: Majikan yang memohon untuk beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sektor yang dibenarkan kerajaan perlu memastikan pekerja mereka menjalani saringan COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Azmin Ali berkata peraturan itu adalah langkah keselamatan bagi menjamin semua pihak yang dibenarkan bekerja bebas wabak penyakit itu.

“Sebagai langkah keselamatan untuk menjamin semua pekerja syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi adalah bebas dari COVID-19, MITI akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di mana pekerja-pekerja diwajibkan menjalani saringan COVID-19.

“Majikan yang memohon untuk beroperasi perlu memastikan pekerja-pekerja menjalani saringan di lebih 3,000 panel klinik kesihatan PERKESO di seluruh negara mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya pada sidang media khas yang disiarkan di stesen TV tempatan hari ini.

Azmin berkata syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi wajib mengemukakan senarai pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP dan memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis sahaja.

“Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan atau thermal scanner serta saringan gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas. Bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk rujukan,” katanya.

Azmin berkata syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat-syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.

“Kebenaran beroperasi ini juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan.

“Pematuhan ini adalah seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat semasa mereka membuat permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang PKP,” katanya.

Jemaah Menteri bersetuju membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Sektor tambahan yang diberikan kebenaran beroperasi itu adalah industri automotif; industri mesin dan peralatan; industri aeroangkasa; projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan; perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D); perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar; perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dalam pemborongan dan peruncitan; dan perkhidmatan dobi. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply