WILAYAH PERSEKUTUAN TETAPKAN DUA KADAR ZAKAT FITRAH

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan beban umat Islam akibat COVID-19, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan menetapkan dua kadar zakat fitrah pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kadar ditetapkan RM5 dan RM7 itu bagi meringankan beban umat Islam ekoran penularan wabak COVID-19.

Katanya, penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan harga beras bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang digunakan kebanyakan masyarakat.

“(Penetapan dua kadar zakat fitrah) Ini bertujuan bagi meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan bagi menunaikan kewajipan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penetapan kadar zakat itu adalah selari dengan Resolusi Muzakarah Khas Kali Ke-2 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 9 April 2020 melalui siaran langsung teleconference.

Zulkifli berkata muzakarah terbabit mengambil ketetapan bahawa; kaedah pembayaran zakat fitrah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian di negeri dengan mengambil kira peraturan Perintah Kawalan Pergerakan semasa dan kadar zakat fitrah mengikut ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Walau bagaimanapun, jumlah bayaran zakat fitrah perlu dibuat bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga.

“Umat Islam di Wilayah Persekutuan boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing,” kata Zulkifli. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply