RM378K BANTUAN MUSAADAH COVID-19 JAKIM DISAMPAIKAN KEPADA ORANG ASLI – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM378,000 bantuan disalurkan kepada komuniti Orang Asli yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui Tabung Musaadah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan itu sebahagian RM1.56 juta diagihkan kepada lebih 1,400 orang ketua isi rumah di lapan negeri, termasuk kelompok B40.

“Kerajaan sentiasa menyantuni Orang Asli sepanjang PKP,” katanya dalam poster di Facebook beliau hari ini.

Pagi tadi, Zulkifli turut menyerahkan bantuan melalui Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM bernilai RM27,360 kepada 152 keluarga penerima di Perkampungan Orang Asli FELDA Sungai Lui, Negeri Sembilan. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pihak Inspire Heart atas kerjasama dan turut serta mempermudahkan urusan bantuan ini,” kata menteri agama itu.

Tengah hari tadi, sejumlah RM33,840 sumbangan dari tabung sama turut disampaikan kepada 188 keluarga di Perkampungan Orang ASli Segamat Kecil.

Kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac hingga 28 April depan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. – AlHijrah Online

Leave a Reply