Pelarian Rohingya bakal berdepan krisis makanan

DHAKA – Program Makanan Dunia (WFP) kekurangan dana 40 juta dolar bagi menampung hampir 900,000 pelarian Islam Rohingya di Cox’s Bazar.
Jumlah itu diperlukan segera memandangkan bekalan makanan dijangka habis dalam tempoh empat bulan. Sekiranya tidak ditangani segera, mereka dijangka berdepan krisis makanan yang serius.
Jurucakap Bahagian Bantuan Makanan PBB, Hervé Verhoosel berkata, pertubuhan itu memerlukan kira-kira 16 juta dolar setiap bulan bagi keperluan makanan pelarian Rohingya, selain kos 24 juta sebulan bagi mengekalkan operasi di Cox’s Bazar.
Sementara itu, Pelan Tindak Balas Bersama PBB (JRP) dilancarkan awal tahun ini bagi mengumpul AS$920 juta untuk krisis kemanusiaan Rohingya, namun ia hanya berjaya mengumpul 38 peratus dari sasaran.
35.8 peratus digunakan untuk keselamatan makanan sementara 17.3 peratus dan 34.7 peratus masing-masing diperuntukkan bagi kesihatan dan nutrisi.
Sejak 2017, hampir sejuta pelarian Rohingya masuk ke Bangladesh akibat kekejaman junta di Rakhine.
Pelarian Rohingya pula enggan pulang ke kampung halaman masing-masing selagi tidak mendapat kewarganegaraan dari kerajaan Myanmar.