PEMANDU MABUK: PERLU PASTIKAN KEADILAN JIKA MAHU LAKSANA HUKUMAN MATI

KUALA LUMPUR: “Nyawa perlu dibalas nyawa,”

Itu ungkapan yang sering dituturkan orang ramai dalam kes kemalangan maut disebabkan oleh pemandu mabuk.

Bagaimanapun tindakan tersebut tidak semudah ungkapan kerana ia melibatkan undang-undang dan sistem keadilan.

Menurut Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof. Dr. Kulanthayan K.C. Mani, jika mahu melakukan hukuman mati, ia perlu dilaksanakan ke atas semua kesalahan trafik yang menyebabkan kematian bukan hanya disebabkan pemandu mabuk sahaja.

“Kalau kita lihat, kemalangan jalan raya biasa ada yang menyebabkan kematian, tidak hanya kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

“Jadi kesalahan trafik perlu dilihat dari segi kesetaraan dan tidak boleh ada undang-undang yang ketat berbanding undang-undang lain di dalam satu kesalahan yang sama,” katanya ketika ditemui AlHijrah Online secara eksklusif di Fakulti Perubatan dan Sains, Universiti Putra Malaysia hari ini.

Jelas Dr. Kulanthayan, hukuman ke atas sesuatu kesalahan perlu dilihat dari pelbagai sudut dan tidak boleh dimuktamadkan mengikut emosi.

Tambah beliau hukuman yang dicadangkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di parlimen baru-baru ini sangat efektif kerana ianya tidak terhad kepada pengaruh alkohol sahaja, namun meliputi semua aspek pemanduan berbahaya.

Rabu lalu, isu pemandu mabuk menjadi tumpuan Parlimen dengan menyaksikan kerajaan mencadangkan untuk ketatkan hukuman merangkumi tiga aspek iaitu kenaikan bayaran denda, tahun penjara dan penggantungan lesen memandu. – AlHijrah Online / Hanisa Hasanuddin.

Leave a Reply