PEMBERONTAK HOUTHI ADAKAN PERBINCANGAN DENGAN MENTERI LUAR IRAN DI OMAN

SANA’A: Delegasi kumpulan pemberontak Houthi Yaman semalam mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran, Javad Zarif di Oman, demikian menurut saluran televisyen Houthi.

Agensi berita Anadolu memetik stesen televisyen Al-Masirah yang melaporkan perbincangan bertujuan menangani situasi kemanusiaan di Yaman dan tindakan negara terbabit mengenakan sekatan ke atas wilayah konflik itu.

Perbincangan itu juga menyentuh mengenai perkembangan terkini di Yaman dan wilayahnya, kata stesen penyiar itu.

Yaman dibelenggu keganasan dan kekacauan sejak 2014 selepas pemberontak Houthi menguasai negara terbabit, termasuk ibu negara Yaman di Sana’a.

Krisis memuncak pada 2015 selepas tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara untuk merampas semula wilayah terbabit daripada kumpulan Houthi.

Arab Saudi dan sekutunya menuduh Houthi sebagai proksi kepada Iran.

Puluhan ribu warga Yaman, termasuk ramai orang awam, dipercayai terbunuh dan cedera dalam konflik itu, manakala 14 juta orang kini di ambang kebuluran, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply