PENGGANGGUR DIDAKWA PUKUL PENGHANTAR MAKANAN DENGAN PENUKUL BESI

Sumber Gambar: Sinar Harian

GEORGETOWN: Seorang penggangur mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan atas pertuduhan mencederakan seorang penghantar makanan dengan penukul besi, Selasa lalu.

Muhammad Aslam Hashim, 31 tahun, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap di Mahkamah Majistret George Town, hari ini.

Menurut pertuduhan, suspek didakwa memukul kepala mangsa, Koay Eng Tat, 40 tahun, dengan penukul besi, di sebuah pangsapuri dekat Desa Permai Indah, Jalan Helang, Sungai Dua pada jam 4.10 petang, 20 April lepas.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh penyerahan dokumen serta lantikan peguam.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, Eng Tat menghantar makanan yang di pesan isteri tertuduh namun berlaku pertengkaran mulut antara Eng Tat dengan tertuduh berkaitan penghantaran makanan.

Insiden telah menyebabkan mangsa menerima sembilan jahitan di kepala selepas dipukul suspek.— AlHijrah Online

Leave a Reply