PENGIKUT TAREKAT NAQSYABANDIAH AL-KHOLIDIAH JALANI PEMULIHAN, KAUNSELING

Datuk Idris Ahmad -fotoBERNAMA

BAGAN SERAI: Pengikut ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah yang dibawa pulang ke negara ini akan menjalani pemulihan dan kaunseling oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi memulihkan akidah mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ia melibatkan kesemua 63 jemaah terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

“Bagi pengikut ajaran ini yang sudah dibawa pulang, mereka akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara dan turut menjalani sesi kaunseling dan pemulihan oleh MAIN masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Kementerian Luar (KLN) kini sedang menguruskan baki 27 daripada 63 pengikut ajaran itu secara beransur-ansur.

Tambahnya, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada MAIN bagi membantu pembiayaan kos penerbangan pulang.

“Kita jangkakan kesemua baki kumpulan itu akan dibawa balik sebelum hujung tahun ini berdasarkan kekosongan penerbangan.

“Urusan akan dikendalikan sepenuhnya oleh KLN yang turut berkolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya pada program turun padang menyantuni masyarakat Cina di Pasar Lama Bagan Serai.

Sebelum ini dilaporkan 63 orang dibawa ke Madinah oleh kumpulan Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu, namun hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah berkenaan.

Pemimpin kumpulan itu, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad dikatakan menyeleweng daripada hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Beliau turut melakukan tiga kali sujud ketika solat dengan sujud terakhir mengucup sejadah.

Media sebelum ini turut melaporkan seramai 36 pengikut ajaran itu yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu dibawa pulang ke tanah air. –AlHijrah Online

Leave a Reply