PENIAGA PASAR MALAM DITUDUH ROGOL ANAK TIRI

IPOH: Seorang peniaga pasar malam dituduh atas tiga dakwaan merogol anak tirinya berusia 14 tahun antara Jun hingga Disember tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

Tertuduh berusia 49 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa merogol mangsa di bilik utama dalam sebuah rumah di Ayer Tawar, Manjung kira-kira jam 2 hingga 3.30 petang pada Jun, Julai dan Disember tahun lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shahrul Nizam Mohd Rabi.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana rumah tertuduh dan rumah ibu saudara remaja perempuan itu yang menjadi kediamannya selepas ibunya meninggal dunia.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10 ribu dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan di balai polis berhampiran setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan tarikh 11 Mac untuk sebutan kes semula bagi laporan kimia dan perubatan mangsa.—AlHijrah Online

Leave a Reply