PERITNYA HIDUP SEBAGAI MANGSA PERANG AZERBAJIAN

KUALA LUMPUR: Lapan hari ditahan tentera Nagorno-Karabakh, umpama 80 hari terseksanya buat Durdana Aghayeva, 48, yang ditangkap ketika cuba melarikan diri daripada keperitan tragedi Khojaly.
Melalui hari-hari menyedihkan, dipukul dan diseksa di ruang bawah tanah di sebuah balai polis, kenangan pahit yang sukar dilupakan.

Mengimbau detik 26 Februari 1992, ketika itu wanita kelahiran Khojaly baru berusia 20 tahun, bekerja sebagai operator telefon. Sama seperti kebanyakan anak muda yang lain, beliau menyimpan banyak impian termasuk melanjutkan pengajian – cita-citanya hancur disebabkan perang.
Merupakan anak sulung, mempunyai tiga adik lelaki, bapanya meninggal pada 1986 dan pada 2017 ibunya pula pergi buat selamanya.
Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia Prof Dr Qaley Allahverdiyev berkata tragedi Khojaly merujuk kepada pembunuhan 613 orang penduduk etnik Azerbaijan pada Februari 1992 di Khojaly, sebuah bandar kecil di rantau Nagorno-Karabakh. Mangsa termasuk 106 wanita, 63 kanak-kanak dan 70 warga emas.
Allahverdiyev juga mengatakan kerajaan Azerbaijan sedang berusaha mendapatkan sokongan antarabangsa untuk mengiktiraf tragedi itu sebagai pembunuhan beramai-ramai. Lebih sejuta penduduk Azerbaijan terpaksa menjadi pelarian dan kehilangan tempat tinggal akibat pendudukan Armenia.
Pada malam kejadian berdarah itu, Allahverdiyev berkata 1,275 orang dijadikan tebusan sementara 150 lagi masih hilang.
Sama seperti mangsa perang lain, kenangan pahit itu terus menghantui Aghayeva. Dia lari bersama kira-kira 70 hingga 80 orang – kanak-kanak dan wanita, termasuk ahli keluarganya – ke kawasan hutan untuk mencari perlindungan. Malangnya, dia ditembak di kaki dan ditangkap.
Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Baku baru-baru ini, Aghayeva – melalui penterjemah – berkata adik lelakinya berusia 19 tahun turut cedera dan ditangkap. Dipisahkan daripada ibu, nenek dan saudara lelaki mereka yang berjaya sampai di zon selamat.
“Malam yang dilalui terasa amat panjang, dalam cuaca sejuk kami terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer ke balai polis, hanya kematian yang berlegar di fikiran ketika itu”.
Lapan hari berlalu, Aghayeva dan abangnya dibebaskan sebagai pertukaran kepada tawanan perang dan diserahkan kepada tentera Azerbaijan sebelum bersatu semula dengan keluarganya.
Pada 1998, beliau berkahwin dengan lelaki berasal dari Baku dan dikurniakan seorang bayi perempuan pada 2002.
Aghayeva masih bekerja sebagai operator telefon dan tinggal di kawasan perumahan disediakan kerajaan Azerbaijan.
“Selepas tragedi itu….saya seperti hilang arah….ketika bertemu dengan suami saya bercerita sedikit demi sedikit kepadanya dan beliau banyak memberi saya sokongan serta dorongan,” jelas Aghayeva.
“Dia menggalakkan saya untuk menceritakan kisah ini kepada dunia luar. Akhirnya, kisah saya dibukukan, ‘Eight Days In Armenian Captivity – Memories of a girl from Khojaly’,” kata Aghayeva, yang kehilangan suaminya tiga tahun lalu.
Tiada apa diinginkan Aghayeva, melainkan dunia yang aman dan bebas daripada peperangan dan konflik.
“Kedamaian kunci segala-galanya, saya telah menyaksikan kejamnya peperangan, berdoalah agar kemakmuran wujud di mana-mana. Saya tidak mahu kanak-kanak, wanita merasai apa yang saya lalui. Islam agama yang damai,” katanya.
Mencerita detik manis antara Azerbaijan dengan Armenia sebelum konflik tercetus Aghayeva berharap pendudukan itu akan berakhir.
Beliau telah melawat Amerika Syarikat, Turki, Itali, Rusia dan Iran untuk berkongsi pengalamannya dan menyampaikan mesej keamanan. Buku beliau ditulis pada 2016 dan diterbitkan dalam empat bahasa; Turki, Rusia, Azerbaijan dan Inggeris.
Merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan dan menyimpan impian berpeluang mengunjungi Malaysia sauatu hari nanti untuk berkongsi mesej keamanan.
Konflik antara kedua negara bermula pada 1988 – tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991 – berikutan tuntutan wilayah Armenia terhadap Azerbaijan.
Pada 1992, perang meletus antara dua bekas negara Soviet itu, menyebabkan pendudukan Armenia ke atas 20 peratus wilayah Azerbaijan, termasuk Nagorno-Karabakh dan tujuh daerah sekitarnya. Semua kawasan ini diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh Malaysia, sebagai sebahagian daripada Azerbaijan. — BERNAMA