PERTIMBANG VAKSINASI AWAL UNTUK IMAM DAN BILAL

Sumber Gambar: Mohd Rasfan / AFP

KUANTAN: Kerajaan perlu pertimbangkan pemberian vaksin kepada para imam dan bilal masjid-masjid seluruh negara yang turut tersenarai dalam barisan hadapan.

Imam 1 Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Pahang, Mohd Hafidz Mohamad Suhaile yang juga bekas pesakit COVID-19 berkata, mereka perlu hadir ke masjid setiap hari walaupun kawasan masjid terletak dalam zon merah.

“Saya mengharapkan pihak kerajaan mempertimbangkan kepada pegawai masjid untuk menerima vaksin lebih awal.

“Ramai dalam kalangan para imam dan bilal yang sudah berusia dan tua, ada juga yang mempunyai penyakit kronik, ia berpotensi untuk dijangkiti COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, Hafidz disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan berdasarkan kontak rapat dengan kakitangan masjid.

Hafidz mengulas, dengan penerimaan vaksin lebih awal, ia dapat mengelak daripada wujudnya kluster yang berkaitan dengan tempat ibadah.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran aktiviti solat berjemaah tidak boleh melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah.

Bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah, hanya dibenarkan 20 jemaah sahaja.—AlHijrah Online

Leave a Reply