POLIS KESAN PEMILIK AKAUN TIKTOK, LELAKI TUNJUK PISTOL DALAM FESTIVAL ANIMASI

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemilik akaun Tiktok serta individu yang membawa senjata dalam satu festival animasi di sebuah pusat beli belah, di sini, yang videonya tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video itu memaparkan seorang lelaki yang menggayakan watak animasi sedang berjalan sambil menyelak bajunya menampakkan satu objek menyerupai senjata diselitkan di seluarnya.
“Satu laporan polis dibuat mengenai penularan video itu dan dipercayai kejadian berlaku dalam pusat beli belah di daerah ini yang mana terdapat penganjuran festival animasi selama empat hari bermula 13 hingga 16 Mei lalu.
“Lelaki dalam rakaman berkenaan disyaki salah seorang peserta yang turut menggayakan watak animasi semasa hadir ke festival itu,” katanya.
Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 bagi siasatan lanjut.—AlHijrah Online