POLIS SIASAT KES KANAK-KANAK SEMBILAN TAHUN MATI MENGEJUT DI TAIPING

TAIPING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Panglima, Assam Kumbang di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid berkata polis menerima maklumat mengenai kematian kanak-kanak itu pada kira-kira 11 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN – KES KANAK-KANAK MAUT: IBU, TEMAN LELAKI DITAHAN

“Pihak polis dan ambulans dari Hospital Taiping telah bergegas ke tempat kejadian dan mengesahkan kematian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Razlam berkata pihak forensik D10 Polis Diraja Malaysia Perak telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mayat di bawa ke jabatan forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Polis mengklasifikasikan siasatan awal sebagai kematian mengejut, katanya.

Sementara itu, Razlam berkata hasil siasatan awal pihak forensik di tempat kejadian mendapati ada unsur penderaan terhadap mangsa.

Beliau berkata mangsa merupakan anak kedua daripada lima beradik, manakala ibu mangsa berusia 36 tahun yang tinggal bersama teman lelakinya di rumah sama dikatakan mempunyai masalah rumah tangga dengan suaminya dan dalam proses penceraian.

“Kejadian penderaan dipercayai berlaku sejak Mac 2023. Mayat si mati telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru, Razlam berkata polis telah menahan ibu mangsa dan teman lelakinya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply