
ROM/ATHENS: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun dan berarak di Itali serta Greece pada Isnin bagi membantah tindakan Israel terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) 2026.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), demonstrasi di Itali berlangsung di Rom dan beberapa bandar lain sempena mogok umum peringkat nasional yang digerakkan oleh kesatuan sekerja serta pertubuhan masyarakat sivil.
Mogok berkenaan bukan sahaja membantah peningkatan kos sara hidup, malah mengkritik keutamaan perbelanjaan ketenteraan berbanding sektor kesihatan dan pendidikan.
Para demonstran turut menolak dasar peperangan serta mendesak kerajaan Itali supaya tidak terlibat atau menyokong tindakan Israel, di samping menyatakan solidariti terhadap GSF.
Di Rom, ribuan peserta berkumpul di Piazza dei Cinquecento dengan membawa bendera Palestin dan sepanduk menyokong flotila berkenaan sebelum berarak menuju ke Piazza San Giovanni.
Slogan pro-Palestin turut dilaungkan demonstran dan mendesak supaya hubungan dengan Israel digantung.
Demonstrasi menyokong GSF turut diadakan di beberapa bandar lain termasuk Milan, Naples dan Turin, dengan penyertaan ribuan orang.
Di Greece pula, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Kementerian Luar di Athens bagi mengecam tindakan Israel terhadap serangan semalam.
Tuntutan pembebasan kepada aktivis yang ditahan disuarakan sambil membawa bendera Palestin serta sepanduk bertulis “Hands off Palestine” dan melaungkan slogan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Pada Isnin, tentera Israel dilaporkan memintas dan menyerang Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa ketika konvoi kemanusiaan itu dalam perjalanan ke Gaza, selain menahan kira-kira 100 aktivis yang menyertai misi berkenaan.
GSF yang melibatkan lebih 50 bot berlepas dari Marmaris di barat daya Turkiye pada Khamis lalu dalam usaha terbaharu untuk menembusi sekatan Israel ke atas Gaza yang berlaku sejak 2007.
Menurut penganjur, misi itu disertai 426 individu termasuk 96 aktivis dari Turkiye serta peserta dari 39 negara lain antaranya Jerman, Amerika Syarikat, Australia, Indonesia, Perancis, Afrika Selatan, United Kingdom, Ireland, Itali, Kanada, Mesir dan New Zealand. — AlHijrah Online