SATU TAN KETUM DIRAMPAS

PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan lebih satu tan daun ketum bernilai RM33,400 yang cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan di Padang Besar dan Kuala Perlis.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam pukul 1.20 tengah hari tadi, anggotanya melakukan rondaan di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, dekat Padang Besar.

Dalam rondaan itu, anggotanya ternampak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di dalam kawasan hutan, namun suspek bertindak melarikan diri.

Setelah pemeriksaan dilakukan, pihaknya berjaya menemui 23 guni berwarna putih dibaluti plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 713 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM21,400.

Sementara itu, satu lagi serbuan pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Suprima S di Jalan Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis pada 2.15 petang.

Menurutnya, serbuan dilakukan dengan kerjasama Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis dan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Kuala Kedah.

Hasil pemeriksaan dilakukan dalam kereta menemui 40 beg plastik berwarna hitam sarat mengandungi daun ketum seberat 400 kg dengan anggaran nilai RM12,000.

Kenderaan berkenaan dipercayai digunakan untuk mengangkut daun ketum.

“Kegiatan ini semakin lama semakin menjadi, dan ianya berpunca mungkin kerana harga permintaan yang dijangkakan mencapai tahap RM150 hingga RM180 satu kg,” katanya.

Kesemua rampasan termasuk kereta berkenaan dianggarkan bernilai RM35,000 dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.—AlHijrah Online

Leave a Reply