SELEPAS LEBIH DUA BULAN NEW ZEALAND SAHKAN SATU KES COVID-19

GAMBAR ARKIB

WELLINGTON: Selepas lebih dua bulan mencatatkan sifar jangkitan COVID-19, New Zealand hari ini mengesahkan satu kes baru wabak tersebut dalam komuniti.

Jangkitan tersebut melibatkan seorang wanita berusia 56 tahun yang pulan ke New Zealand pada 30 Disember 2020.

Menurut Menteri Kesihatan New Zealand, Chris Hipkins, wanita berkenaan disahkan positif COVID-19 yang dikenal pasti sebagai varian Afrika Selatan.

Wanita itu dilapor positif selepas dia selesai menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu.

Hipkins memaklumkan wanita itu sebelum ini dikesan negatif dalam dua ujian COVID-19 yang dilakukan ke atasnya.

Sementara itu kontak rapat wanita itu telah disaring dan disahkan negatif setakat ini.

Menurut pihak berkuasa New Zealand, wanita terbabit berkemungkinan dijangkiti individu pulang dari luar negara yang menjalani kuarantin di lokasi yang sama dengannya.

Setakat ini tiada kes positif COVID-19 dikesan dalam komuniti di New Zealand selain wanita berkenaan.

New Zealand merupakan salah sebuah negara yang berjaya mengawal penularan COVID-19 dengan jangkitan terakhir direkodkan pada November 2020. – AlHijrah Online

Leave a Reply