KUALA LUMPUR: Sembilan pengamal media seluruh Malaysia terpilih untuk menunaikan ibadah haji tahun ini menerusi tajaan penuh Kementerian Media Arab Saudi.
Ia turut melibatkan dua kakitangan stesen televisyen Islamik negara, TV AlHijrah.
Menurut fasilitator media dan ketua delegasi haji media Malaysia 2025 Datuk Izelan Basar, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha tahunan kerajaan Arab Saudi untuk menghargai peranan media global dalam pembangunan ilmu, bakat serta inovasi di samping mengukuhkan hubungan komunikasi dua hala dengan negara-negara islam.
Jelasnya, hampir setiap tahun Kementerian Media Arab Saudi akan menjemput lebih 500 pengamal media seluruh dunia untuk menikmati pembangunan teknologi yang semakin pesat dan sekaligus membuat liputan haji semasa bertugas.
“Sudah hampir 15 tahun Kementerian Media Arab Saudi menjemput wartawan serta penerbit dan mereka akan dipaparkan pembangunan di Arab Saudi yang semakin pesat membangun.
“Dan apabila tiba waktu kemuncak, kesemua pengamal media akan fokus menunaikan rukun Islam kelima itu dan turut akan dibawa ke tempat-tempat sejarah Islam serta syarikat-syarikat korporat,” katanya.
Tambahnya lagi, sepanjang berada di Jeddah dan Mekah, para pengamal media dari seluruh dunia turut dijadualkan menghadiri taklimat khas mengenai kemajuan pelan ‘Wawasan 2030’ Arab Saudi yang kini difahamkan telah mencapai 93 peratus daripada sasaran sejak pelancarannya sembilan tahun lalu.
Kesemua delegasi media Malaysia dijadualkan berlepas ke Jeddah pada jam 2.15 pagi ini dan akan berada di tanah suci bermula 30 Mei hingga 11 Jun depan.
Antara organisasi media terlibat termasuklah Bernama TV, Astro Awani, Astro Oasis serta Media Prima.–AlHijrah Online / Hanisa Hasanudin