SINGAPURA TIDAK HANTAR ROMBONGAN JEMAAH HAJI 2021

Sumber Gambar: AFP

SINGAPURA: Kerajaan Singapura mengambil langkah untuk tidak menghantar rombongan jemaah ibadah haji pada tahun ini susulan pandemik COVID-19 di peringkat global masih berterusan.

Menerusi kenyataan di laman web Majlis Agama Islam Singapura (MUIS), keadaan pandemik tersebut masih menunjukkan peningkatan di seluruh dunia di samping penyebaran varian baharu COVID-19 semenjak kebelakangan ini.

“Semakin banyak negara di dunia melaporkan gelombang jangkitan baharu dan bulan-bulan akan datang mungkin akan lebih mencabar.

“Meskipun banyak negara telah memulakan vaksinasi mereka, kadar vaksinasi di banyak negara masih rendah pada saat ini,” katanya.

Bagaimanapun, MUIS yakin sepenuhnya dengan pengurusan serta langkah-langkah yang disediakan kerajaan Arab Saudi bagi menangani pandemik ini sewaktu musim ibadah Haji pada tahun ini.

Namun, Singapura dengan sokongan Jawatankuasa Fatwa mempunyai pertimbangan sendiri untuk menjaga kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan jemaah Singapura.

MUIS akan mengatur semula giliran bagi jemaah yang terjejas ke tahun haji berikutnya.

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan kebenaran ibadah haji dilaksanakan bagi tahun 2021 termasuk untuk jemaah dari luar negara dengan syarat-syarat yang ketat. —AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply