SOLIDARITI DENGAN PALESTIN, GAGALKAN AGENDA ZIONIS – HADI AWANG

Oleh Nurayuni Johari

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh dunia diseru bersatu hati dan bersolidariti mengenang 72 tahun Nakbah Palestin yang terus menjadi insiden tragis menikam hati dan perasaan umat Islam sejak sekian lama.

Ini kerana masih terdapat negara Islam bersikap acuh tak acuh dalam mempertahankan Palestin dan terpengaruh dengan agenda zionis Yahudi.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sikap itu merupakan titik kelemahan umat Islam untuk bersatu menentang rejim zionis.

“Di sana ada negara bersikap agak longgar kerana termakan lobi negara besar yang terlibat dalam Nakbah dalam peristiwa itu dan kita harap rakyat mesti bergerak supaya protes menentang agenda yang melumpuhkan isu palestin,” katanya kepada AlHijrah Online selepas program Assalamualaikum bertajuk “Pasca 72 Tahun Derita Nakbah” di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di sini pagi tadi.

Hadir sama pada siaran langsung program bual bicara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah Media Corporation, Namanzee Harris.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata ketika ini, terdapat banyak negara yang menzahirkan sokongan mereka dan tegas mempertahankan Palestin antaranya Turki, Iran, Pakistan, Arab Saudi, Malaysia dan Indonesia

Bagaimanapun, katanya, sokongan itu masih tidak mencukupi tanpa kerjasama padu dalam menentang agenda zionis.

Mengulas lanjut mengenai Palestin, Abdul Hadi berkata beliau akan menggunakan hubungan diplomatik untuk terlibat lebih aktif melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Peristiwa Nakbah atau “malapetaka” yang berlaku pada 15 Mei 1948 adalah bukti kezaliman Israel yang merampas tanah milik rakyat Palestin untuk mendirikan negara haram bangsa Yahudi.

Lebih 750,000 warga Palestin telah dihalau dari tanah air mereka, rumah mereka dimusnahkan dan ribuan terkorban pada detik memilukan umat Islam itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply