SULTAN JOHOR BIAYAI KOS BAIK PULIH HOSPITAL SULTANAH AMINAH

SUMBER: FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah baginda berkenan untuk membiayai kos membaikpulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar petang semalam.

Baginda turut bertitah akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan segera dan kos membaikpulih ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

“Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titah Sultan Johor di laman Facebook rasminya (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) hari ini.

Titah Sultan Johor, baginda sentiasa mengutamakan rakyatnya, dan peranan YSIJ juga amat besar kerana sentiasa terlibat dalam membantu orang ramai dalam pelbagai perkara.

Wad Perubatan Perempuan HSA terbakar kira-kira jam 3 petang semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ketika sidang media susulan insiden itu semalam mengesahkan tiada kecederaan dan kematian dalam kebakaran tersebut.

Katanya kejadian itu juga tiada kaitan dengan kebakaran empat tahun lalu kerana berlaku di bangunan berbeza dan punca kebakaran masih disiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). AlHijrah Online / Zaim Zamani.

Leave a Reply