SARINGAN SUHU BADAN DI PINTU MASUK PUSAT MEMBELI BELAH SAHAJA, TIDAK PERLU DI SETIAP KEDAI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini memutuskan ujian saringan suhu badan hanya perlu dilakukan di pintu masuk utama pusat membeli belah sahaja.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kedai-kedai di pusat membeli belah tidak lagi perlu melakukan ujian saringan suhu badan tetapi masih perlu merekodkan kehadiran pelanggan untuk pengesanan kontak.

“Mesyuarat bersetuju saringan suhu badan hanya di pintu masuk sahaja. Tidak perlu semak suhu badan di setiap kedai yang dikunjungi.

“Kalau sekarang ni 10 kedai yang pelanggan pergi 10 kali kena buat saringan suhu badan,” kata Ismail Sabri pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya hari ini.

Jelas Ismail Sabri, rekod kehadiran pelanggan seperti nama dan nombor telefon boleh dibuat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera.

Langkah itu kata Ismail Sabri perlu dikekalkan bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka yang disyaki dijangkiti wabak COVID-19.

Sementara itu Ismail Sabri hari ini turut mengumumkan kebenaran operasi untuk taman tema air dan kering bermula 1 Julai 2020.

Beliau berkata pengusaha taman tema perlu memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi seperti penjarakan sosial dan tahap kualiti air.

Had pengunjung katanya bergantung kepada kapasiti taman tema dengan memastikan penjarakan sosial. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply