SULTAN SELANGOR SEDIH, KECEWA TERPAKSA HADKAN FUNGSI MASJID DAN SURAU

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap dua perkara susulan daripada penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan di Malaysia khususnya di Selangor.

Menurut kenyataan media Sultan Selngor hari ini, perkara pertama yang mendukacitkan baginda melibatkan had fungsi masjid dan surau.

“Baginda sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Selangor.

“Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa masjid di Selangor tidak pernah ditutup dan bukan sesuatu yang mudah untuk baginda menitahkan agar masjid-masjid mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat-solat fardu dan solat Jumaat,” kata kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Jelas kenyataan tersebut sebarang keputusan berkaitan had fungsi masjid dan surau diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak COVID-19 di Selangor.

Perkara kedua yang menyedihkan baginda apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat wabak COVID-19 di seluruh Selangor.

Sehingga 9 Julai 2021, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.

“Apa yang lebih membimbangkan baginda, pada akhir Jun 2021, data menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Negeri Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.

“Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di negeri Selangor,” kata kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, Sultan Selangor kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan SOP dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.

“Baginda sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

“Disebabkan itu, sehingga hari ini, walaupun berat hati, Baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di negeri Selangor yang baginda kasihi,” kata kenyataan tersebut.

Baginda menegaskan, kesan daripada penularan wabak COVID-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.

Titah Baginda, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa.

“Sehingga itu terjadi, baginda mahu seluruh umat Islam di Negeri Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T agar menghapuskan wabak berbahaya ini.

“Di kesempatan ini, baginda ingin menasihatkan umat Islam agar kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian dan dugaan supaya kita sentiasa mengingati kebesaran Allah S.W.T,” — AlHijrah Online

Leave a Reply