SYARIKAT PENGELOLA HAJI SEDIA PULANGKAN WANG BAYARAN KEPADA BAKAL JEMAAH

SHAH ALAM: Syarikat pengelola haji dan umrah di bawah lesen Lembaga Tabung Haji dan Majlis Kawal Selia Umrah, Zahafiz Travel and Tours Sdn Bhd pihaknya bersedia untuk memulangkan kembali wang yang dibayar pelanggannya untuk musim haji tahun ini.

Perkara itu diumumkan Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zainal Abidin Yusof yang prihatin dengan nasib bakal jemaah haji musim ini selepas kerajaan mengumumkan penangguhan ibadah haji baru-baru ini.

“Kita akan pulangkan kembali wang yang telah dibayar. Kita tidak mahu simpan duit mereka takut nanti jadi fitnah,” katanya ketika ditemui AlHijrah Online di Wisma Zahafiz Travel and Tours Sdn Bhd siang tadi.

Zainal berkata agensi miliknya tidak mempunyai sebarang syarat tersembunyi berkenaan bayaran pakej haji yang diambil oleh pelanggannya.

Mengulas isu pajakan hotel bagi jemaah di Arab Saudi, beliau berharap dapat bersemuka dengan kerajaan negara itu secepat mungkin bagi membincangkan status wang deposit yang dibayar.

“Kita tidak tahu lagi status wang deposit tersebut kerana kerajaan baru sahaja mengumumkan keputusan tersebut, namun kami akan berunding dengan kerajaan Arab Saudi jika boleh wang tersebut digunakan untuk musim haji tahun hadapan atau tidak.

“Walaubagaimanapun, jika duit tersebut tidak akan dipulangkan semula dan tidak dibawa ke tahun hadapan, saya redha dengan ujian ini.” katanya. — AlHijrah Online / Nur Hanisa Hasanuddin.

Leave a Reply