TAK HORMAT SENIOR, SELISIH FAHAM PUNCA PELAJAR DIPUKUL

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan tiga ditumbuk dan ditendang oleh pelajar tingkatan lima hanya kerana isu tidak hormat pelajar senior.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian dipercayai berlaku pada Isnin lalu.

“Pada 8 Mei 2023 kira-kira jam 9.30 pagi di tangga Sekolah Menengah Taman Melawati, mangsa telah ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang di bahagian belakang badan oleh seorang pelajar tingkatan lima yang dikenali.

“Mangsa juga diugut akan disiku di bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.

“Pada jam 3 petang, mangsa telah diajak oleh lima suspek ke Bukit Mas, Kemensah dan dipukul salah seorang suspek yang turut menumbuk di bahagian muka mangsa sebanyak empat kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian itu disaksikan 10 hingga 15 orang pelajar.

Akibat insiden, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, luka di kening kiri, manakala rahang di bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak.

VIDEO KEJADIAN YANG TULAR

Mohamad Farouk berkata punca kejadian disebabkan selisih faham tidak hormat antara mangsa dan sekumpulan pelajar senior tingkatan lima.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 1 tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Suspek yang terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan. – AlHijrah Online

Leave a Reply