TEKNOLOGI BANTU PERMUDAH IBADAH HAJI


Saudi Gazette melaporkan bilangan jemaah haji tertinggi selepas pandemik COVID-19 dengan bilangan melebihi 1.8 juta pada tahun 2023 bersamaan 1444 Hijrah. Bagi mereka yang pernah mengerjakan ibadah haji atau umrah semenjak tahun 2000, terdapat banyak peningkatan kualiti yang ketara dari segi infrastruktur, kualiti dan sistem perkhidmatan.
Sekali pandang tiada hubungan terus di antara ibadah dan teknologi tetapi apabila diperhatikan secara terperinci, teknologi memainkan peranan penting dalam mempermudahkan ibadah haji, memenuhi keperluan asas individu serta logistik agar jemaah lebih khusyuk, fokus dan selesa semasa mengerjakan ibadah haji.
Kerajaan Arab Saudi telah meningkatkan keupayaan teknologi dari setiap sudut untuk melancarkan ibadah haji bagi menampung bilangan jemaah yang tinggi dalam jangka waktu terhad misalnya wuquf di Arafah selepas waktu Zohor pada 9 Dzulhijjah dan seterusnya perlu bergerak untuk miqat di Muzdalifah sebelum tiba di Mina pada 10 Dzulhijjah.
Bagi memenuhi kekangan masa yang amat ketat, ianya memerlukan perancangan yang amat teliti dan mendalam serta infrastruktur yang canggih dan berkesan. Adaptasi teknologi maju dan pendigitalan yang pesat dalam era 4IR (revolusi industri 4.0) telah mampu melancarkan perjalanan jemaah haji melalui infrastruktur dan sistem pengangkutan/logistik yang serba canggih.
Pada awal tahun 2000, perjalanan antara Muzdalifah ke Mina mengambil lebih dari 6 jam tetapi kini hanya mengambil masa kurang dari 2 jam kerana sistem lebuhraya bertingkat yang canggih serta mencukupi dan ditambah pula dengan kemudahan kereta api laju yang kerap dan laju. Lebuhraya yang tersedia mempunyai lebih dari 2 lorong setiap hala dan dilengkapi dengan ‘flyover’ yang melancarkan pegerakan setiap kenderaan.
Bukan sahaja sistem pengangkutannya telah dimantapkan, malahan ruang sekeliling Masjidil Haram juga sedang diperbesarkan untuk menampung peningkatan jemaah haji setiap tahun yang melebihi dari 160 negara. Ketika ini Islam adalah agama yang paling pesat berkembang selepas kejadian 9/11 yang meruntuhkan World Trade Centre di New York. Oleh itu tidak pelik jika diperhatikan semakin ramai jemaah dari Korea, Jepun, China dan Amerika Syarikat sendiri.

Pemakluman tentang perancangan bandar Makkah sebagai ‘smart city’ telah bermula semenjak tahun 2019 lagi yang menekankan kepada pengangkutan moden yang inklusif untuk jemaah haji dan umrah termasuk warga emas. ‘Smart Bus’ yang menggunakan ‘remote control’ dan sistem GPS akan digunakan pada masa akan datang seperti yang dilaporkan oleh The Siasat Daily pada 29 Ogos 2019.
Pergerakan jemaah di dalam Masjidil Haram didapati berjalan lancar dengan sistem keselamatan dan kamera canggih digunakan bagi memastikan setiap jemaah dapat melaksanakan ibadah mereka dengan tawaduk. Bagi yang tidak mampu secara fizikal untuk tawaf seumpamanya, juga disediakan ‘Skooter Elektrik’ untuk individu mengerjakan tawaf.

Kenderaan elektrik dan ‘Smart Bus’ adalah selari dengan pembangunan lestari sepertimana dinyatakan dalam surah Al Baqarah ayat 11 untuk memastikan anak cucu kita akan terus menikmati alam semesta semula jadi seperti yang dinikmati oleh datuk nenek kita sebelum ini.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
Surah Al Baqarah : 11
Perkembangan di sekeliling Masjidil Haram juga menggunakan teknologi canggih seperti pembinaan terowong dan pembangunan bangunan tinggi bagi menampung peningkatan kapasiti jemaah untuk solat, tawaf dan sa’ie. Di luar Masjidil Haram pula, diperhatikan ‘drones’ digunakan di udara untuk mengawal selia perjalanan trafik dan pejalan kaki.

Dalam masa yang sama pendigitalan permohonan visa telah dilaksanakan secara dalam talian dan ini amat memudahkan jemaah. Sistem secara dalam talian juga melibatkan sistem keselamatan siber dan pelbagai sistem data raya bagi menganalisis data jemaah yang mengerjakan ibadah haji.
Adaptasi teknologi dan pendigitalan diimbangi dengan empati dan ehsan dimana terdapat ramai sukarelawan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah dan universiti juga membantu proses kelancaran perjalanan haji. Ditambah pula dengan semangat menyantuni tetamu Allah SWT, penduduk Makkah yang dikenali dengan budaya dan tradisi melayani tetamu dimana sebelum terbinanya hotel yang banyak, penduduk tempatan menjadi tuan rumah jemaah haji.
Di zaman yang moden ini budaya melayani tetamu masih bersemarak melalui sedekah minuman dan makanan di setiap waktu dan di setiap tempat yang dilalui. Penghormatan yang begitu tinggi diberikan kepada setiap jemaah tidak mengira warna kulit dan asal usul oleh warga Makkah dapat dilihat sepanjang masa.

Sains dan teknologi tidak boleh dipisahkan dengan amal ibadat terutamanya untuk mengupaya dan memudahkan ibadah ummah. Ilmu perubatan moden barat sebenar adalah berdasarkan hasil kerja Ibn-Sina atau Avicenna seorang ahli falsafah, theologi, puisi dan saintis Islam yang terkenal pada abad ke 11.
Oleh itu, adalah penting anak-anak kita bukan sahaja mendalami ilmu sains sosial atau agama sahaja tetapi pada masa yang sama mendalami ilmu sains ataupun sekarang ini dikenali sebagai STEM bukan sahaja untuk kerjaya dan profesion tetapi juga untuk berbakti kepada ummah sejagat dalam pelbagai bidang.
Datuk Prof. Dr. Ir. Siti Hamisah Tapsir adalah Naib Canselor UCSI University merangkap President, Malaysian Board of Technologists dan juga bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau juga penerima Khaadimul Haramain AlSharifain 2023.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.